SEJARAH DAN MITOS
Mengikut sejarah Melayu, wau bermula
di Melaka oleh Putera Raja keturunan Sultan Melaka. Terdapat tiga jenis wau
yang terkenal iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi. Wau diperbuat
daripada buluh yang diraut untuk dijadikan rangka, tulang belakang, sayap dan
ekor wau. Kertas warna pula ditampal pada rangka wau untuk menentukan
kecantikannya. Kertas warna boleh dilukis motif-motif dengan warna pilihan yang
sesuai. Ketiga-tiga wau ini mempunyai estetika jenis sobekan yang bermotifkan
sulur bayur, awan larat, pucuk rebung, geometri, flora fauna dan sebagainya.
Perkataan Wau dikatakan berasal
daripada perkataan kerajaan Melayu Pattani memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan
tersebut. Manakala perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan
negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia
seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi
catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang
bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja. Selain itu kemunculan nama wau juga
dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau.
Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan
menghasilkan bunyi Wau secara berirama.
Mengikut
satu cerita, wau itu pada awalnya ialah permainan tanpa nama. Permainan yang
dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat daripada daun tertentu yang diikat
pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau
urat-urat daun nanas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Suatu waktu, permainan
tanpa nama itu putus talinya, dan anak itu pun menangis maka, menurut yang empunya
cerita, lahirlah perkataan Wau.
Mengikut
mitos, ia bermula apabila Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh
membuang tembuni Dewa Muda ke laut. Maka Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa
di kayangan merasa tidak selesa duduk di kayangan, lalu dia turun ke Medan
Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda terapung-apung di
Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang dinamakan Awang si
Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan “rangka” Wau untuk
Dewa Muda.
Untuk
menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan
bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan tangan
dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Apabila Wau ini
dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam.
Daripada bunyi busur itulah wujudnya nama Wau. Mengikut asal usul ini juga, wau
yang tidak ada busur atau busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua
belas ragam dipanggil layang-layang.
Asal
usul yang lain pula, wau wujud daripada semangat padi. Pada satu hari, seorang
petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan seorang anak
perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap hari
membawakan minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di tempat dia bermain
di rumah padi, yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu di hati isteri. Anak
perempuan itu dipukul oleh si isteri lantas melarikan diri dari rumah petani
tersebut menghala angin barat.
Berikutan
dengan kejadian itu, padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang
penyakit. Mengikut nujum, anak perempuan yang dihalau tadi ialah semangat padi.
Untuk memohon ampun, petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan
sekarang ini dan dinaikkan setelah menuai.
Asal
usul Wau Bulan pula, lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar Srivijaya
oleh Dewa Muda. Setelah kemangkatan pembina Empayar Srivijaya iaitu Sri
Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar yang meliputi seluruh Asia Tenggara ini
mulai berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu
Medang Bhumi.
Di
awal abad ke-8 muncul seorang tokoh, iaitu cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang
bernama Jaya Sinha. Beliau mempunyai pelbagai gelaran, antaranya Sabjaya atau
Sanjaya Putera, Inu Dewa, Seri Panji, Mahisa Kelana Seri Panji, Raden Inu
Kertapati atau Raden Asmarajaya dan Hyang Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal
dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda. Dewa Muda telah mengadakan
beberapa serangan untuk menyatukan kembali Empayar Srivijaya.
Sebelum
Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia
pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau lembaga wau bulan
yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar
Srivijaya atau Asia Tenggara itu.Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung
itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau
Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai Sejagat Tanah
Jawa.
Kepala
dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung
yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut
Nabi Mahlail Alaihissalam antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut
dengan nama Mahalelselt. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar Burung Petala
Indera. Oleh itu, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar
Srivijaya dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar
ini.
Dikisahkan
bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang
melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat
Empayar Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam,
Segenting, Kemboja-Laos-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan
Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi.
Sementara dua belas ragam bererti dua belas suku terdapat di dua belas daerah
atau negeri tersebut tadi.
Bulatan
bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan
Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan
bulan sabit penuh dilambangkan sebagai negara pusat atau kawasan pusat
pemerintahan yang dinamakan Nusa Kencana (Kawasan Emas) dan bulan sabit penuh
yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan
yang dinamakan Nusantara (Kawasan yang dirantai oleh laut).
Wau
Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar
Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar
Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat.
Wau
juga dinyatakan berasal dari Kembayat Negara di zaman Siti Zubaidah dan wau ini
bernama Wau Lenggang Kembayat. Wau inilah yang dinaikkan oleh Pembina Empayar
Srivijaya iaitu Dewa Muda. Bentuknya tidaklah seperti Wau Bulan seperti yang
dinyatakan dalam mitos di atas. Wau Lenggang Kembayat ini bentukya seperti Wau
Ikan yang wujudnya sekarang ini. Banyak lagi terdapat asal usul wau, tetapi
hampir semuanya menyerupai asal usul yang telah dicatat.
Comments
Post a Comment